KUALA PERLIS, 26 Julai -- Usaha penanaman pokok bakau perlu dilakukan secara berkala dan berterusan agar ia mampu membaiki semula ekosistem hutan paya yang bukan hanya memberi kesan kepada alam sekitar tetapi turut menjejaskan pendapatan nelayan khususnya nelayan persisiran pantai.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Dr Ahmad Ismail berkata usaha yang dilakukan kerajaan menanam pokok bakau di persisiran pantai contohnya di Kuala Perlis adalah perkara yang baik namun begitu proses kemenjadiannya tidak 100 peratus. Hanya sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja.
“Aktiviti ini perlu dilakukan secara berkala dengan menyulam pokok bakau yang telah mati dan menambah bilangan pokok bakau di kawasan lain, walaupun usaha ini masih di peringkat awal ia sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan masalah hakisan pantai,” katanya kepada Bernama.
Ahmad berkata usaha penanaman bakau perlu diperhebatkan lagi dengan menanam lebih banyak pokok bakau bagi meningkatkan pertumbuhan organisma bentos seperti siput, ketam dan sebagainya yang akan menjadi populasi awal hidupan marin di kawasan pantai serta menyediakan makanan kepada burung pantai dan burung laut.
Katanya memandangkan Perlis mengalami kemusnahan pokok bakau yang serius, sokongan pihak korporat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan penduduk tempatan sangat diperlukan bagi menjayakan program penanaman pokok bakau sepanjang pantai negeri Perlis.
No comments:
Post a Comment