1. Pendedahan Berita Harian mengenai Hutan Simpan Kekal (HSK) Bukit Sungai Puteh dan Bukit Nanas di Kuala Lumpur sedang diintai pemaju dan bakal dibangunkan suatu yang sangat membimbangkan.
2. Seluruh warga kota dan rakyat Malaysia perlu membuat bantahan keras jika perkara ini bakal berlaku. Jumlah keseluruhan HSK yang asalnya berkeluasan lebih 100 hektar, kini telah berkurangan hampir 40%.
3. Sebagai sebuah kotaraya berhampiran Khatulistiwa yang asalnya dipenuhi oleh hutan hijau tropika, dalam apa juga piawai, jumlah ini terlalu kecil untuk dibanggakan.
4. Di Kebanyakan kotaraya hebat dunia, mereka sedang bertungkus lumus meningkatkan kawasan hijau, terutamanya ekosistem hutan dan merancang pertempatan bersifat mesra penghuni.
5. Kita tidak habis-habis merosak dan memusnah hutan warisan alam atas nama pembangunan. Jika tidak dibalak secara tidak lestari, kita akan tukar statusnya menjadi kawasan pertanian dan perbandaran.
6. Malaysia negara yang terletak di rantau tropika lembab dan dihiasi dengan hutan hijau tropika, ibu negara kita Kuala Lumpur elok menjadi contoh dunia, sebagai sebuah bandaraya dihiasi hutan.
7. Rakyat Malaysia seharusnya mempunyai mimpi, setiap bandar di Malaysia dirancang tersulam antara bangunan dan hutan asli.
8. Kuala Lumpur berpeluang dan boleh menjadi contoh ‘bandaraya dalam hutan’. Dasar pembangunan bandar perlu memberikan perhatian yang serius mengenai keseimbangan antara kawasan pembangunan prasarana dan kawasan hijau.
9. Kehadiran beberapa taman seperti Taman Tasik Perdana dan Taman Tasik Titiwangsa masih belum memadai. Beberapa taman lebih kecil perlu dibina di antara satu pusat bandar dengan pusat yang lain.
10. Pada masa yang sama, sepanjang permatang bukit dan zon penampan lebuhraya, usaha memulihara Hutan Simpan Bandar (HSB) boleh diperkenalkan.
11. Memandangkan landskap Kuala Lumpur terdiri daripada jalinan dataran limpah Sungai Kelang, bukit dan permatang perbukitan, semua kawasan bukit dan permatang eloknya dikekalkan berhabitat hutan.
12. Bukit di kawasan tropika lembap tidak sesuai di tarah dan diratakan. Ini hanya akan mengundang hakisan melampau dan tanah runtuh.
13. Pembangunan di kawasan perbukitan sepatutnya mengikut topografi sambil mengekalkan cerun asal. Sementara pembangunan di dataran limpah mengekalkan sebahagian daripada hutan tanah bencah bagi menghindar proses banjir.
14. Masyarakat dan kepimpinan negara perlu menyedari HSK bukan sekadar hutan dan landskap hiasan bandar. Ekosistem hutan memainkan pelbagai peranan penting dalam kehidupan manusia dan kesejahteraan komuniti bandar.
15. Kehadiran hutan berupaya mengekalkan suhu nyaman bandar dan fenomena pulau haba pula dapat dikurangkan. Hutan juga berfungsi memerangkap sebahagian daripada air hujan, mengurangkan hakisan tanah dan kejadian tanah runtuh.
16. Ekosistem hutan bandar adalah sistem mitigasi asli penting untuk menghindar bencana alam, khususnya banjir kilat dan gelinciran tanah.
17. Fungsi perkhidmatan hutan juga sebagai penyerap gas karbon dioksida punca fenomena pemanasan global. Dengan kehadiran jaluran hutan bandar, gas rumah hijau yang dihasilkan oleh kenderaan dan industri mampu diserap oleh ekosistem hutan bandar.
18. Usaha negara dan rakyatnya yang beriltizam bersama komuniti antarabangsa untuk mengurangkan pencemaran gas pencetus perubahan iklim mampu dilaksanakan.
19. Hutan juga kini menjadi aset ekopelancongan penting negara. Jika di negara maju, komuniti bandar perlu keluar dan memandu seharian untuk menikmati keindahan hutan, di Kuala Lumpur hutan berada di hadapan pintu belakang rumah.
20. Kehadiran hutan bukit, hutan bencah dan hutan permatang mampu menjadikan Kuala Lumpur, bandaraya di dalam hutan berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan bandar terkemuka dunia.
21. Walaupun, di bahagian utara dan timur Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur masih dikelilingi oleh HSK, hutan dalam Kuala Lumpur tiada ternilai harganya. Kini, ia semakin berkurangan dan mungkin mengalami kepupusan.
22. Ada yang menyatakan, untuk memulihara hutan di Kuala Lumpur, bagaikan ‘nasi telah menjadi bubur’, kita sering melaungkan perakuan Malaysia boleh, dan Kuala Lumpur boleh. Bolehkah agaknya, ubur dijadikan nasi semula!
IBK: 3 Mei 2016
No comments:
Post a Comment