Terima Hakikat bagi orang makan gaji!
Kenapa kita datang kerja hari-hari tak kira di pejabat atau di ladang. Ringkasnya adalah untuk dapat gaji bagi menyara hidup diri sendiri, anak isteri dan keluarga serta melayani nafsu gaya hidup masing-masing. Kalau itulah hakikatnya maka setiap orang hanya perlu mengikut syarat-syarat minima untuk layak mendapat gaji pada setiap bulan. Paling kurang pastikan kehadiran anda direkodkan setiap hari mengikut prosidur yang ditetapkan oleh majikan atau ketua yang menjadi wakil majikan agar anda terbukti telah hadir bekerja setiap hari bekerja dalam masa sebulan. Bagi yang ingin naik gaji pada tiap tahun pula pastikan anda memenuhi segala kriteria untuk naik gaji seperti mengisi semua borang dan melaporkan apa-apa aktiviti anda dalam masa setahun yang menampakkan anda bekerja seperti yang ditetapkan oleh majikan atau wakilnya.
Harus diingat berapa kuat anda bekerjapun atau berapa tinggi wawasan sekalipun terhadap organisasi anda, sekiranya peraturan yang ditetapkan tidak diikuti anda hanya berangan kosong. Walaupun anda datang hari-hari bekerja bertungkus lumus berlanggar bahu dengan kawan-kawan tetapi anda tidak catat kehadiran anda, semua orang termasuk ketua anda tidak akan menyokong dan mengaku melihat anda hadir setiap hari bekerja-tidak ada bukti. Gaji anda tidak akan naik. Jadi ikutlah peraturan kerja bukan bekerja. Begitulah hakikat manusia robot sekarang yang mengenepikan kemampuan otak dan pancaindera semulajadi. Begitu juga dengan kenaikan pangkat.
Ringkasnya, sekiranya anda ingin berjaya dalam kerjaya anda setiap bulan dapat gaji, setiap tahun naik gaji dan sampai masa naik pangkat, maka anda perlu lakukan beberapa perkara. Antaranya adalah;
1. Meneliti dan menyenaraikan peraturan kerja, naik gaji, dan naik pangkat semasa dan menyediakan senarai semak berkenaan.
2. Tumpukan kepada senarai semak berkaitan agar anda memenuhi segala keperluan yang dikehendaki dan mengikut prosidur tepat yang disediakan semasa.
3. Sentiasa memaklumkan kepada ketua tentang pencapaian anda semasa agar mereka sentiasa tahu dan mengikut perkembangan anda. Ketua yang selalu membawa dan mengangkat bendera tinggi tidak ada masa untuk lihat dan kenal apa anda buat.
4. Elakkan dari membuat kerja-kerja yang tidak berkaitan dengan anda untuk mendapat gaji, naik gaji dan naik pangkat.
5. Elakkan dari peduli hal orang lain. Generasi persaingan sekarang siapa peduli siapa. Yang kuat akan terus kuat dan yang lemah akan tertindas. Belajarlah dari kerbau, lembu, kambing, harimau, kera, kucing, ayam-itek atau ikan haruan tentang hormat, hirarki, struktur sosial dan sebagainya.
Apakah semua yang dibincangkan di atas itu benar dan patut dilakukan? Banyak Negara maju sudah tidak percaya kepada manusia lagi kerana manusia sudah menjadi robot, mementingkan diri sendiri, ego, iri hati, penipu, tidak prihatin dengan keadaan sekeliling, gelojoh mengejar keseronokan, harta dan kekayaan yang sementara. Maka dalam suasana yang kompetitif dan kurang pekerjaan, mereka telah merekacipta sistem yang mantap menggunakan sistem computer yang canggih, berwibawa, cekap dan sentiasa boleh dipercayai. Kita juga ingin meniru malangnya ilmu kita belum lagi mencapai tahap sepatutnya cuma gaya yang sempat ditiru. Kita memang suka kepada upacara dan mercu tanda. Biar reput rumah kita tapi cat mesti cantik. Kita bukan orang pertama sebab sudah ada orang Asia terdahulu apabila pergi di Negara maju mereka tidak tiru ilmu dan teknologi tetapi sekadar tiru gaya hidup dan pakaian. Akhirnya jati diri mereka sendiri hilang dan masyarakat mudah menerima budaya dan cara hidup Negara-negara maju. Maka akhirnya berlakulah penaklukan budaya dan cara hidup, pengawalan ekonomi dan kuasa politik.
Hakikatnya budaya kerja di sesebuah organisasi sangat penting bagi kita terus berjaya, adil dan seronok menghabiskan setengah dari umur kita di tempat kerja. Semua orang bukan sekadar bekerja dapat gaji, naik gaji dan naik pangkat, walaupun itu yang kita mahu, tetapi perlu faham kenapa kita diambil bekerja oleh majikan, tahu kerja kita-skop kerja dan bidang kerja, lakukan kerja dengan baik dan berperanan untuk bangsa dan Negara sekarang dan masa hadapan. Kalau ini berlaku tidaklah ada kepincangan dalam pentadbiran, prosidur kerja, kakitangan curi tulang, teraniya dan menaniaya serta ketua akan dapat terus mengangkat bendera besar berkibar untuk anak buahnya. Ketua yang oportunis dan mementingkan diri sendiri akan merosakkan organisasi sendiri. Bagi yang Islam belajarlah semula apa itu Ibadat, Dosa, Pahala dan Siksaan Kubur, Syurga dan Neraka, hari khiamat serta mugkin Bidadari.
Friday, October 23, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment