Thursday, October 22, 2009

Sampai bila kita nak berseminar; mungkin hanya sekadar berkempen?

More money needed for Scientists to promote nature protection & conservation and at the same time propose new idea to benefit greedy human being. BUT GIVE MONEY TO THE RIGHT PERSON!

Hutan tropika terus diceroboh

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.myus diceroboh

IPOH 21 Okt. - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, kekurangan kewangan, kelonggaran undang-undang dan penguatkuasaan sambil lewa menjadi punca utama hutan tropika di negara ini diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Baginda bertitah, dalam keghairahan memacu negara ke arah pembangunan, aspek pemuliharaan hutan dipinggirkan tanpa mengambil kira keberkesanan undang-undang yang dicipta untuk melindunginya.

''Mengambil contoh Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor yang telah diwartakan sebagai taman negara namun pelbagai kegiatan haram masih berlaku.

''Ini termasuklah memburu haiwan secara haram dan pembalakan haram masih terus berleluasa," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Ke Arah Pembangunan Pelan Induk Bersepadu Bagi Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan anggota Exco kerajaan negeri.

Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan negeri dan Yayasan Pulau Banding (YPB).

Persidangan berkenaan juga melibatkan enam perbincangan meja bulat yang dihadiri beberapa tokoh alam sekitar dan fasilitator tempatan dan luar negara.

Raja Nazrin bertitah, dalam kesibukan memacu negara ke arah ekonomi membangun, tanggungjawab pemuliharaan hutan sering terabai terutama untuk menyediakan dana mencukupi.

Baginda bertitah, kajian oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE) pada 2005 mendapati bahawa taman-taman negara dan taman negeri mengalami kekurangan dana berjumlah RM37 juta setiap tahun.

Titah baginda, apabila ia berlaku, aspek pengawasan dasar mengenai pemuliharaan hutan atau undang-undang dan pelaksanaan penguatkuasaan terhadapnya bukan lagi menjadi keutamaan malah terus diketepikan.

''Dalam konteks Hutan Hujan Tropika Belum-Temenggor, kemusnahan berikutan pelbagai kegiatan haram sukar untuk diperbaiki namun semua pihak terbabit harus mengambil langkah dengan mencontohi kejayaan negara lain dalam pengurusan hutan.

''Adalah belum terlambat dan tidak ada sebab bagi semua pemegang amanah di Belum-Temenggor untuk mengambil langkah terbaik bagi menjaga dan memulihara khazanah alam semula jadi itu," titah baginda.

Raja Nazrin menyifatkan persidangan itu menjadi tunjang ke arah melahirkan pelan induk bersepadu sebagai pemangkin ke arah pemuliharaan Hutan Hujan Tropika Belum-Temengor yang lebih berkesan dan komprehensif.

No comments: