Wednesday, November 25, 2009

Seminar Hasil Ekspedisi Penyelidikan Saintifik Ke-2 Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong 23-25 November 2009


Seminar yang dianjurkan oleh Fakulti Perhutanan UPM dengan kerjasama Jabatan Hutan Negeri Selangor itu telah berjaya menghasilkan 30 kertas kerja merangkumi 13 kertas kerja dalam bidang alam sekitar,8 flora dan 9 fauna. Hasil kertas kerja ini akan diterbitkan dalam bentuk buku. Lebih banyak maklumat yang lengkap tentang biologi dan ekologi hutan simpan ini diperlukan bagi meyakinkan pihak masyarakat, penduduk di sekitar hutan ini dan kerajaan agar hutan ini terus disimpan selamanya untuk generasi akan datang. Keyakinan semua tentang hutan ini berperanan dalam keseimbangan ekologi, kawalan kepanasan dunia, perubahan cuaca, sumber air, ekopelancungan, pendidikan, penyelidikan, rekreasi, sumber hutan, pembekal oksigen, kawalan banjir dan segalanya perlu dipertingkatkan. UPM dan Jabatan Hutan serta semua pihak perlu bekerja kuat bagi mempertahankan hutan ini.
Kedudukan hutan ini di Lembah Kelang dan di tengah MSC, membuatkan hutan ini lebih unik dan berperanan penting dalam hal yang dinyatakan di atas. Malaysia berbangga dengan kedudukannya didunia dalam hal kepelbagaian biologi. Kedudukan Hutan Simpan Ayer Hitam ini di Lembah Kelang, MSC dan tambahan lagi diurus oleh Universiti Putra Malaysia yang unggul dalam kajian dan penyelidikan hutan semestinya memenuhi kebanggaan Malaysia tentang kepelbagaian biologi. Kepelbagaian biologi sekarang sudah termasuk dalam arus perdana semua aspek pembangunan dan mendapat perhatian pembuat dasar negara. UPM boleh laksanakan semua ini dengan baik bukan sahaja kerana kepakaran yang ada tetapi juga sokongan yang akan dapat dari ramai pegawai pelaksana, pengurusan dan pentadbiran di Jabatan Hutan yang mempunyai kuasa ke atas hutan, pegawai pertanian yang terlibat dalam pembangunan tanah dan golongan pendidik di sekolah sekitarnya yang boleh membantu mendidik dan menyampaikan maklumat. Beratus-beratus sekolah yang mempunyai puluhan ribu pelajar akan turut menyokong projek hutan ini. UPM telah lama mengeluarkan graduan dalam bidang perhutanan, pendidikan dan pertanian. Mereka boleh membantu dan menyokong aktiviti-aktiviti UPM dalam kajian , pendidikan dan konservasi Hutan Simpan Ayer Hitam ini. Dengan kata lain ALUMNI UPM boleh turut membantu usaha penyelidikan, pendidikan dan pengembangan kearah perlindungan dan konservasi Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, Selangor Darul Ehsan.

No comments: