Naib Presidennya, Prof. Ahmad Ismail berkata, penubuhan pusat yang akan menjadi tumpuan pakar penyelidik dan pelajar universiti sama ada dari dalam atau luar negara itu bagi membolehkan pandangan dan cadangan berkaitan pembangunan kawasan berkenaan dikumpul secara lebih sistematik.
Katanya, kajian dan penyelidikan yang dijalankan secara berterusan di kawasan tersebut mampu membuahkan jalan penyelesaian serta kaedah yang lebih tepat dan berkesan dalam usaha menyelamatkan kawasan tanah tinggi berkenaan.
“Saya yakin maklumat dan kajian yang dijalankan di kawasan itu sudah ada sebelum ini tetapi mungkin tidak disimpan atau ditempatkan secara sistematik menyebabkan sukar untuk dirujuk bagi tujuan tindakan.
“Pusat tersebut akan menyelaras semua kajian dan data-data untuk kegunaan pembangunan dan penyelenggaraan tanah tinggi Cameron Highlands agar data atau maklumat tentang biodiversiti, ekologi, kejuruteraan serta geologi kawasan tersebut lebih mudah dikumpulkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang mencemar duli melawat kawasan Lembah Bertam, Cameron Highlands menzahirkan kemurkaan dan rasa dukacita baginda terhadap aktiviti penerokaan tanah secara haram di kawasan Cameron Highlands selain turut meminta kegiatan itu diberhentikan segera.
Dalam hal itu, Ahmad turut meminta satu jawatankuasa terdiri daripada agensi kerajaan, pakar biodiversiti, ekologi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar serta ketua penduduk tempatan ditubuhkan agar setiap pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan itu mendapat pandangan pihak berkenaan.
“Mungkin sebelum ini ada satu jawatankuasa yang melihat hal pembangunan di tanah tinggi itu tetapi tiada penyelarasan mantap menyebabkan kejadian tanah runtuh, banjir, penerokaan serta pencerobohan berulang dan apabila berlaku bencana memberi kesan kepada rakyat.
“Oleh itu, adalah sangat penting untuk setiap pembangunan yang dilaksanakan mendapat pandangan daripada masyarakat setempat,” jelasnya.
Beliau turut menambah, suara serta pandangan NGO dan masyarakat setempat perlu diambil kira kerana mereka mampu memberi pandangan berbeza malah lazimnya pendapat mereka membawa kebaikan kepada kawasan berkenaan