Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Bora, Prof. Madya Dr. Abdul Hamid Ahmad, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan agensi berkaitan juga menggunakan kaedah pembiakbakaan termasuk pengklonan iaitu kaedah alternatif menggunakan tisu daripada haiwan berkenaan.
Beliau turut berkongsi sokongan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang menyalurkan geran bagi membina makmal teknologi pembiakan berbantu (Assisted Reproductive Technology atau ART) berjumlah RM11.9 juta pada tahun lalu sebagai sebahagian usaha menyelamatkan spesies terancam. Sokongan daripada kementerian berkenaan juga merangkumi semua spesies hidupan liar yang terancam di Sabah sebagai langkah proaktif untuk menyelamatkan sebanyak yang mungkin spesies daripada kepupusan.
“Makmal tersebut dibina di Fakulti Pertanian Lestari UMS kampus Sandakan,” ujarnya sambil memberitahu bahawa geran tersebut adalah untuk tempoh lima tahun dan makmal ini dijangka siap tahun depan.
Usaha-usaha pemuliharaan terhadap spesies lain juga sudah mula digerakkan dengan menggunakan kaedah teknologi reproduktif berbantu (ART) termasuklah antaranya melibatkan beruang dan harimau dahan.
Dengan siapnya makmal itu nanti, Bora kata Dr. Abdul Hamid akan menggunakan kepakaran dalam negara dan langkah awal yang dilakukan adalah mengumpul dan menyimpan tisu haiwan berkenaan.
Dalam pada itu pensyarah Jabatan Biologi Fakulti Sains UPM, Prof. Dr. Ahmad Ismail mempersoal sejauh mana kerajaan bertanggungjawab mengambil tindakan bersepadu dalam mengelakkan haiwan liar daripada pupus.
Kata beliau, kajian perlu dijalankan segera apabila mendapati populasi berkurangan dan diancam kepupusan.
Menurutnya, banyak haiwan yang mengalami kepupusan, dan pelbagai alasan diberi apabila badak Sumatera (Dicerorhinus sumatrensis) dan burung merak (Pavo muticus) sudah pupus.
Katanya lagi, sejauh mana tapir (Tapirus indicus) yang terancam akibat daripada pemencilan hutan yang menjadi habitat mereka diberi perhatian, kes kemalangan jalan raya akibat jalan raya merentasi habitat mereka dan kadar populasi yang makin menurun.
“Sekiranya kajian awal dijalankan mungkin kes yang menyebabkan pengurangan populasi ini dapat dielakkan.
“Kajian tentang ekologi, genetik dan pembiakan tapir ini perlu disegerakan.
“Kejayaan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) dan Zoo Negara membiak tapir perlu diberikan perhatian dan dikembangkan bagi menjamin kelestarian mereka.
“Selain kajian ke atas tapir secara khusus, kajian tentang kualiti habitat mereka juga perlu dikaji segera sebelum terlambat,” ujarnya.
Begitu juga dengan burung upeh (Mycteria cinerea) yang populasinya sangat terancam.
Pembangunan berterusan dan konflik manusia dan aktiviti pemuliharaan menyebabkan populasi burung tidak ada lagi. Pembangunan kawasan berkenaan untuk aktiviti pertanian dan akuakultur serta kehadiran pekerja asing yang tidak faham tentang polisi pemuliharaan di Malaysia mengundang ancaman baharu.
Peluang untuk memburu juga mungkin menyebabkan burung ini pupus.
Katanya, masalah utama kepupusan hidupan liar telah dikenal pasti iaitu kemusnahan habitat dan perburuan haram.
“Bagaimana kita dapat menangani isu ini sekiranya kita tidak mempunyai maklumat yang lengkap tentang haiwan liar berkaitan?” soalnya.
Isu perlindungan habitat dan pemuliharaan melibatkan kawasan hutan yang cukup luas untuk pemuliharaan haiwan liar dan pengambilan tanah untuk menghubungkan hutan-hutan yang ada bagi tujuan haiwan bergerak seperti Central Forest Spine (CFS) yang dicadangkan oleh kerajaan perlu dilihat.
Isu tersebut kata Dr. Ahmad mestilah mendapat persetujuan kerajaan negeri kerana tanah dan hutan adalah bawah pentadbiran kerajaan negeri.
Isu perburuan haram pula melibatkan kesedaran awam tentang pemuliharaan dan penguatkuasaan hidupan liar. Tanpa data dan kajian agak sukar bagi pihak berkaitan membuat keputusan dan mendorong mereka berfikir secara tradisional dengan kaedah lama tentang pemuliharaan.
Selepas sedar banyak spesies kita sudah pupus, ramai berpendapat usaha perlu dilakukan untuk memastikan perkara tersebut tidak berulang.
Justeru beberapa pihak berpendapat penyelidikan boleh membantu ke arah pengekalan dan pemuliharaan spesies yang kini terancam. Ikuti laporan khas mini Siri 2 mengenai kepupusan spesies flora dan fauna oleh LAUPA JUNUS