Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo berkata, walaupun terdapat rasional di sebalik tindakan terbabit, tetapi langkah yang lebih baik adalah dengan menyediakan beg kertas ataupun menjual beg kitar semula yang lebih tahan lasak dan berharga beberapa ringgit lebih tinggi berbanding beg plastik.
“Apalah sangat 20 sen bagi mereka yang mampu membayarnya tapi jika pengguna ini tidak diberi pilihan dan terpaksa membeli beg yang boleh diguna semua pada harga yang lebih tinggi, mungkin mereka akan beringat untuk membawa beg sendiri apabila membeli barangan.
“Jika di luar negara, pengguna disediakan dengan kotak atau beg kertas untuk mengisi barang. Kita boleh menggalakkan penggunaan beg kertas dalam pasaran dan ini bukan sahaja lebih baik untuk alam sekitar tetapi sekali gus dapat meningkatkan industri kertas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam ruangan Forum hari ini, seorang pembaca yang juga Pensyarah Pendidikan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Nur Diyana Mahmud menyatakan persetujuan terhadap langkah yang diambil untuk mengurangkan beg plastik seperti yang dilaksanakan oleh Selangor tetapi menyatakan terdapat juga golongan mempersoalkan kewajaran caj sebanyak 20 sen dikenakan kepada pengguna.
Beliau berkata, kesediaan pengguna di Malaysia untuk mengurangkan penggunaan beg plastik masih di tahap yang tidak memuaskan yang menyebabkan ramai pengguna yang memilih untuk membayar 20 sen daripada membawa beg sendiri ketika membeli-belah.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Yusoff Ishak berkata, caj 20 sen tersebut sebenarnya tidak berbaloi berbanding kesan kemusnahan kepada ekosistem, namun sekurang-kurangnya ia adalah penanda aras dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik.
Tambahnya, langkah alternatif seterusnya yang boleh dilakukan adalah dengan menggunakan beg mesra alam sekitar iaitu beg bioplastik yang mudah terurai berbanding beg plastik biasa.
“Selain itu, kita juga mungkin dapat meningkatkan pembungkusan menggunakan kertas serta membawa bekas makanan sendiri seperti mangkuk tingkat apabila mahu membeli makanan.
“Mengenai soal kewajaran caj 20 sen ini, mungkin pihak-pihak berkaitan seperti persatuan pengguna dapat bertanya kepada pasar raya yang mengenakan caj tersebut mengenai kegunaan wang terbabit supaya ia digunakan untuk kempen kesedaran penggunaan plastik,” ujarnya.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail pula berkata, isu caj 20 sen tidak akan timbul jika rakyat memahami bahaya penggunaan beg plastik kepada manusia dan alam sekitar.
“Saya pernah tinggal di Jepun dan England dan rakyat di sana sangat faham bahaya penggunaan plastik kepada manusia dan alam sekitar. Mereka sokong kempen kurangkan penggunaan plastik dan pengurusan pembuangan plastik seperti kitar semula dan pengasingan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE