Wednesday, June 17, 2009

Kerjasama sains UPM dan Universiti Tokyo

17 Jun 2009 / 23 Jamadil Akhir 1430
Dr. Nik Mustapha R. Abdullah (dua dari kiri) bersalaman dengan Dr. Nobuyuki Miyazaki selepas bertukar-tukar dokumen memorandum persefahaman UPM dan ORI, The University of Tokyo di Kuala Lumpur, baru-baru ini. UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) dan Ocean Research Institute (ORI), The University of Tokyo, Jepun mengadakan penyelidikan bersama dan pertukaran penyelidik dalam bidang kimia, fizik dan biologi. Dekan Fakulti Sains UPM, Prof. Dr. Sidek Ab. Aziz berkata, memorandum persefahaman (MoU) antara UPM dan ORI turut mengadakan syarahan, simposium serta pertukaran maklumat akademik untuk tempoh selama lima tahun. Beliau berkata, persefahaman itu mengukuhkan MoU yang dimeterai antara kedua-dua pihak sejak 10 tahun lalu melalui projek kerjasama yang diketuai oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail dari Jabatan Biologi dengan saintis daripada pelbagai organisasi di Jepun. Terdapat dua orang tutor UPM iaitu bekas pelajar Jabatan Biologi yang sedang menjalankan penyelidikan ijazah doktor falsafah (Ph.D) di universiti tersebut. "Walaupun penyelidikan bersama diketuai oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail akan diteruskan, penyelidik dari Jabatan Fizik dan Kimia dipelawa untuk bekerjasama dengan saintis di University of Tokyo itu," katanya di Kuala Lumpur, baru-baru ini. MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah dan Penyelidik ORI, Prof. Dr. Nobuyuki Miyazaki. The University of Tokyo merupakan universiti penyelidikan terulung di Asia ditubuhkan pada tahun 1877. Ia mempunyai 30,000 pelajar yang seimbang jumlahnya antara pelajar pra-siswazah dan siswazah manakala ORI adalah institut penyelidikan kebangsaan yang ditubuhkan pada tahun 1962 di bawah universiti tersebut. Penyelidikan di pusat tersebut tidak terhad kepada perairan Jepun tetapi perairan antarabangsa dengan kerjasama negara luar dan organisasi antarabangsa.

No comments: