Thursday, November 5, 2009

Graduan yang berkualiti dan berdaya saing?

Saya melihat universiti tempatan bersaing hebat untuk mendapatkan pengiktirafan tempatan dan antarabangsa. Masing-masing mempunyai strategi sendiri untuk mencapai matlamat yang sama. Semangat ini bertambah giat lagi apabila kerajaan ingin menjadikan Malaysia sebagai Hub Pendidikan Dunia.
Pelbagai produk dan prosedur diperkenalkan bagi meyakinkan agensi pengiktirafan dan masyarakat awam.Saya harap semua perkara yang diperkenalkan tidak tersasar dari fungsi sebenar universiti dan keperluan masyarakat Malaysia yang berbagai kaum dan lapisan taraf ekonomi. Masyarakat Malaysia masih memerlukan pendidikan tertiari yang berkualiti.
Misalnya apabila kita hendak menghasilkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pelbagai pendekatan baru diperkenalkan daripada memperkemaskan kurikulum, perlaksanaannya, pendekatan baharu yang menarik, kelayakan dan kemahiran pensyarah, frasarana dan kualiti mahasiswa. Soalannya adakah mahasiswa yang datangnya dari pelbagai latarbelakang budaya, sistem sekolah yang sedia ada mampu ditukar segera dalam masa tiga tahun dengan pendekatan baharu ini. Kalau kita lihat penilaian pengajaran pensyarah oleh mahasiswa, masih ada yang tidak berani melangkaui budaya umum "tidak berani bertanggung jawab". Misalnya kalau pelajar ditanya adakah pensyarah memberikan sinopsis, perancangan kuliah dan selalu menggalakkan mahasiswa bertanya dalam kelas, dan di minta memberikan pernyataan tidak setuju, setuju dan sangat setuju. maka ramai mahasiswa tidak berani menyatakan sangat setuju walaupun sudah diberikan semua perkara di atas. Begitu juga apabila ditanya adakah pensyarah memberikan markah dalam masa dua minggu selepas ujian. Mahasiswa tidak berani menjawab tidak setuju walaupun pensyarah belum lagi memberi ujian dan masih menjawab setuju sahaja (kononnya ingin menjaga nama baik pensyarah). Inilah kualiti mahasiswa kita yang tidak berani menghadapi kenyataan, tidak mahu komited dan akhirnya mereka menjadi seorang graduan yang tidak berwibawa dan tidak jujur. Budaya masyarakat lebih memberikan kerjasama kepada penjenayah daripada pihak polis. Apa kita boleh lakukan untuk mengubah budaya, amalan, pemikiran dan kualiti mahasiswa kita?

1 comment:

Danial Raziq said...

Itu adalah sebahagian budaya melayu dan sgt susah hendak dihapuskan, sudah meresap dalam pemikiran sejak zaman-berzaman. Perkara2 sebegini akan dibawa kealam perkerjaan. Sebagai cth. jika kita komen sikit saja cara pengurusan pejabat. Kita akan disenarai hitam dan tidak akan dapat promotion utk sekian lama atau sehingga bos kita ditukar atau kita yang cari kerja lain.

Dr, dulu saya juga pernah belajar di UPM- 2 thn. sekarang kerja diluar negara. Perkara sebegitu kira tidak berlaku. Kita cakap apa yang kita nak cakap, tapi pastikan dengan fakta yg lengkap supaya kredibiliti kita sentiasa ditahap yang sesuai. Budaya org luar suka "cakap lepas" berbicang macam nak berperang tapi selepas selesai mereka berbaik pula.
Bagi saya graduan kita hanya perlu pengisian ilmu dan bila mereka bercakap. Cakaplah yang benar dan dengan penuh berhemat. Pastikan budaya kita lebih tinggi dan saling hormat menghormati.