Sunday, February 21, 2010

Pengantarabangsaan Universiti Awam di Malaysia

Mungkin kita perlu lihat sejarah pembentukan universiti awam di Malaysia dan program latihan kakitangan universiti termasuk yang telah dan sedang menerajui universiti, fakulti, jabatan, pusat-pusat atau bahagian.
Sudah pasti asas pemikiran pembentukan universiti berdasarkan universiti di luar negara dari segi struktur asas pentadbiran, kurikulum dan perlaksanaannya. Malah ramai pegawai akademik dan sebahagian pegawai tadbir mengalami sistem pembelajaran di universiti luar negara dan ada yang dari universiti yang terkemuka di dunia. Sudah tentu mereka telah menjalani proses penerimaan surat tawaran, pendaftaran program dan kursus, pengajaran kursus berkaitan, suasana di universiti termasuk perkhidmatan yang diberikan bagi kesejahteraan mereka semasa belajar dahulu, kehidupan di luar negara dari segi suasana kemasyarakatan dan interaksi antara mereka (termasuk pergi pasar, car boot sale, strawberry picking, pizzaboy, menghantar dan mengambil anak sekolah, membeli pyrex, mercerdes, pedang samurai dll.), penerimaan ijazah dan kembali ke Malaysia berkhidmat di universiti awam sebagai pensyarah atau pentadbir.
Sudah tentu mereka sudah mengalami suatu yang berbeza dan menganalisis pengalaman yang dialami semasa belajar di luar negara menceritakan kepada kawan-kawan atau cuba mengamalkan semasa di Malaysia. Ada pula pensyarah yang berulang kali ke luar negara melawat universiti samada lawatan sekejap-sekejap, berkursus, penyelidikan, menghadiri seminar atau konferens dan sabatikal. Pengalaman ini juga telah sudah tentu di analisis oleh ramai pegawai akademik termasuk naib canselor, timbalan-timbalan naib canselor, dekan-dekan dan sebagaiya. Persoalannya apakah pengalaman ini masih tidak cukup untuk mengantarabangsakan universiti awam? Apakah sistem yang diamalkan di universiti awam sekarang sesuai dengan pengalaman ramai pensyarah atau pentadbir semasa mereka di universiti di luar negara? Apakah infrastruktur yang ada setaraf dengan universiti bertaraf antarabangsa? Apakah budaya dan politik kita berperanan dalam pengantarabangsaan universiti awam kita? ATAU kita membenarkan orang yang tidak pernah mengalami pengantarabangsaan mengantarabangsakan kita? ATAU semua orang mesti diantarabangsakan dahulu? ATAU terlampau banyak konflik antarabangsa dan budaya tempatan dalam pentadbiran,pengurusan dan perancangan masa hadapan? Banyak lagi yang boleh diperkatakan.
Mungkin kita perlu fikirkan semula pengantarabangsaan universiti awam kita.

No comments: