Thursday, April 29, 2010

Pemantauan dan kajian segera perlu dilakukan


Sungai tercemar di Selangor 'tenat'

SERDANG 28 April - Selangor menghadapi masalah pencemaran air yang tenat apabila mencatatkan peningkatan kes pencemaran sungai sebanyak 86 peratus dalam tempoh lima tahun.

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd., Tan Sri Rozali Ismail berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 1,483 kes pencemaran sungai iaitu peningkatan hampir sekali ganda berbanding 796 kes pada 2005.

"Peningkatan ini amat membimbangkan kerana hanya 59 peratus sahaja sungai yang masih boleh digunakan dan diklasifikasikan sebagai selamat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kelab Briged Penyelamat Sungai kali ke-24 di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan turut dihadiri Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.

Rozali berkata, dalam tempoh lima tahun, sungai-sungai di negeri tersebut yang tercemar juga meningkat daripada 14 kepada 18 batang.

Menurutnya, pencemar-pencemar sumber air mestilah dipantau dan program pemulihan sungai harus dirancang dengan melibatkan elemen pemantauan dan pemodelan secara holistik.

Beliau percaya, gandingan kerajaan dan swasta mampu menjayakan program alam sekitar yang lestari.

Justeru, beliau mencadangkan agar UPM dipilih untuk meneraju, merancang dan melaksanakan program pemuliharaan memandangkan universiti tersebut mempunyai kepakaran serta terlibat secara langsung dalam aktiviti dan kursus alam semula jadi.

No comments: