Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail
“Ingat senang bekerja di menara gading? Tanggungjawab pensyarah mendidik golongan cerdik pandai,” lontar Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail berhubung isu gaji pensyarah yang dipertikaikan sesetengah pihak sejak akhir-akhir ini.
Menurutnya, pendidikan di peringkat sekolah tidak sama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di mana tugas pensyarah adalah membimbing seseorang penuntut ke arah kerjaya dan profesional serta membentuk mereka menjadi seorang intelek, berdaya saing, kreatif dan inovatif.
“Berbanding alam persekolahan, peringkat umur penuntut di menara gading, dari segi emosinya lebih mencabar untuk dibentuk. Penuntut yang dibimbing pastinya mereka yang bijak dan cemerlang di sekolah. Itu sebab mereka sambung pengajian di universiti.
“Justeru, secara automatik seseorang pensyarah perlu pendidikan tertinggi supaya lebih berkredibiliti kerana memikul tanggungjawab besar ini. Dengan adanya kelayakan akademik tertinggi, pakar dalam bidang mereka maka tugas pensyarah tentunya lebih besar.
“Hendak mengajar orang pandai, kita juga kena bijak, mempunyai lebih ilmu pengetahuan dan kepakaran dalam bidang kita. Kalau cukup-cukup makan, siapa hendak pandang,” ujar beliau dalam nada berjenaka.
Tambahnya, sedia maklum selain sebagai tenaga pengajar, pensyarah juga menyelia penuntut menjalankan penyelidikan pra siswazah dan pasca siswazah, membuat penyelidikan dan menerbitkan makalah ilmiah hasil penyelidikan, mengembangkan hasil kajian kepada masyarakat serta terlibat dengan pentadbiran di dalam universiti serta adakala di luar kampus.
“Pensyarah perlu ada integriti, kredibiliti, bijak dan mempunyai banyak penerbitan ilmiah berkaitan penyelidikan. Terlibat pentadbiran pula supaya pensyarah memiliki daya kepimpinan.
“Hendak tak hendak seseorang pensyarah perlu ada kelulusan doktor falsafah (PhD). Dalam zaman maklumat di hujung jari ini, semua pensyarah mesti menguasai sumber maklumat dan ilmu terkini agar dapat disampaikan kepada mahasiswa," katanya.
Menurutnya, penyelidikan, pembacaan makalah terkini berkaitan penyelidikan dan perkembangan ilmu baharu dunia dalam bidangnya mesti dikuasai oleh pensyarah. Ini membuatkan pensyarah perlu bekerja keras. Barulah gah jawatan pensyarah.
“Tetapi apa imbuhannya? Kebanyakan pensyarah tidak bersemangat atau berkobar-kobar menjana keprofesionalan masing-masing kerana berasa tanggungjawab dilaksanakan tidak setimpal dengan gaji diberi kerajaan,” katanya.
Mungkin skim gaji guru lebih baik, setaraf dengan tugas dan kedudukan mereka berbanding dengan pensyarah. Menurut beliau, bukan hendak menolak peranan guru, namun tugas pensyarah bukan seperti mengajar murid membaca atau memahami mata pelajaran sahaja
malah lebih dari itu.
Beliau, Tugas pensyarah dari tempoh wajib bekerja antara 8.00 pagi hingga 5.00 petang sangat berat. Pensyarah menjalankan enam fungsinya supaya seimbang dengan peranan sebagai penjana tenaga profesional negara. Adalah menjadi perkara biasa pensyarah bekerja lebih dari masa yang ditetapkan. Masa untuk berfikir, merancang penyelidikan, masa untuk berbincang dengan pelajar atau ahli kumpulan penyelidikan, masa untuk menulis, mengedit makalah dan tidak ketinggalan juga menasihati pelajar, pentadbiran dan aktiviti kokurikulum
pelajar.
“Jika ikutkan waktu cuti pun lain. Murid cuti, guru bercuti juga. Tapi pensyarah tak ada cuti semester dan bekerja macam biasa walaupun penuntut bercuti.
“Semak tugasan penuntut. Wajib buat penyelidikan dari semasa ke semasa. Tak ada penyelidikan, orang pun tak pandang. Mesti ada geran penyelidikan. Untuk mendapat geran penyelidikan mesti ada cadangan penyelidikan. Ada yang memegang jawatan pengurusan dan pentadbiran atau mengetuai kumpulan penyelidik. Pokoknya, memang banyak tugas pensyarah dan berat tanggungjawabnya.
“Bukankah lebih tanggungjawab itu sepatutnya dibayar setimpal dengan kesarjanaan seseorang pensyarah?” ujar Ahmad.
Tegasnya, bukan hendak menuding kepada mana-mana pihak tetapi berharap pihak bertanggungjawab jangan memandang sepi terhadap gaji pensyarah.
Tambahnya, dalam mengejar kedudukan universiti di kedudukan dunia dan menyediakan penuntut menjadi tenaga profesional di masa depan, isu gaji perlu dipertimbangkan kerajaan supaya golongan pensyarah terutama yang muda lebih bersemangat.
“Selain mengambil kira PhD, kerajaan boleh membuat pertimbangan dengan mengukur kualiti penyelidikan, penerbitan dan sumbangan kepada masyarakat umum atau bidang kepakaran seseorang pensyarah dalam isu gaji ini,” saran beliau.
Laporan di atas sebahagian daripada artikel Bicara Isnin (12 November), Sinar Harian hari ini.