Lahir graduan palsu
Ijazah Palsu
Ijazah palsu: Lahir graduan palsu
Kronologi kes
Salleh
Salleh
SEBUAH pusat menyimpan data mengenai seseorang graduan mesti ditubuhkan untuk mengelakkan kes pemalsuan ijazah.

Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ahmad Ismail berkata, pusat tersebut boleh dinamakan sebagai bank data graduan memandangkan kaedah pengumpulan data satu pusat perlu wujud untuk mengelakkan jenayah terhadap kelulusan akademik.

“Bank tersebut mesti mengandungi data pembelajaran seseorang penuntut seperti nombor kad pelajar, nombor siri sijil kelulusan dan juga rekod ketika penuntut berkenaan menyediakan tesis atau penyelidikan.
Presiden Persatuan Pegawai Akademik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ahmad Ismail

“Kerajaan perlu pertimbangkan mengenai cadangan seumpama ini supaya majikan dapat membuat semakan terus tanpa perlu melalui birokrasi (bagi mengesahkan ijazah calon pekerja) yang kadangkala melecehkan. Ini kerana, dalam kes ijazah palsu, pihak yang teraniaya adalah majikan.

"Bank data ini bukan sahaja untuk penuntut atau graduan universiti tempatan, tetapi juga pensyarah kerana ada juga kemungkinan pemalsuan bidang kepakaran pensyarah walaupun kebanyakannya boleh dirujuk kepada laman sesawang universiti berkenaan.

“Selama ini, kita tidak ada satu sistem pusat yang mudah untuk para majikan membuat semakan bagi mengesahkan sesuatu sijil itu tulen,” katanya.

Mengulas mengenai sindiket mencetak ijazah palsu melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM) barubaru ini, Ahmad berkata,kejadian seperti itu tidak sepatutnya boleh berlaku sekiranya ada sistem sedemikian.

Ini kerana, proses hendak lulus bagi seseorang graduan bukanlah semudah seperti memetik jari sebaliknya mereka perlu menjalani kaedah penilaian dan pemarkahan yang bukannya ringkas.

“Mereka perlu menamatkan pengajian dalam tempoh tertentu tidak kiralah peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana (Master) atau Doktor Falsafah (PhD). “Dengan adanya kes ijazah palsu, maka intergriti seorang pensyarah juga terjejas. Ini kerana pensyarah yang bertanggungjawab dalam sistem pemarkahan penuntut yang menjadi titik ukur lulus atau gagal.“Jika mereka lulus baru boleh diberikan sijil. Pihak yang terlibat dalam pemalsuan ijazah sebenarnya mencabar kredibiliti pensyarah.

Ironinya, kita letih mengajar dan memberi bimbingan, tetapi ada pula pihak yang dapat sijil ‘segera’. Ahmad berkata, kita perlu ingat bahawa bidang akademik sekarang tidak seperti zaman dahulu lagi, tetapi sudah bersifat antarabangsa. Oleh itu, saya berasakan, negara perlu ada sistem yang mantap untuk menyimpan data kelulusan akademik graduan supaya tidak berlaku penipuan atau plagiat.

Tambahnya, dalam keadaan negara mengalami limpahan penuntut termasuk dari negara asing seperti Afrika dan Timur Tengah misalnya, justeru Malaysia sewajibnya memiliki satu sistem yang selamat selain satu cara berhati- hati.

“Kita akui bahawa terdapat data yang tidak boleh sewenangnya diperlihatkan kepada umum. “Oleh itu, pihak pelaksana perlu membuat kajian secara mendalam terhadap perihal keselamatan dan sensitiviti mengenai seseorang penuntut dan universiti berkenaan supaya tidak ada pula pihak yang mengambil kesempatan. Dibimbangi sekiranya berlaku permasalahan lain pula,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Majlis Akademi Sains Malaysia, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor memberi pandangan, pihak majikan di negara ini perlu mengambil iktibar dengan kejadian pemalsuan ijazah melibatkan USM yang terbongkar baru-baru ini.

“Majikan perlu membuat semakan terhadap calon yang hendak ditemuduga sama ada sijil yang dibawanya itu tulen.

“Ini sebagai langkah untuk mengelak kecuaian daripada terjebak dengan pemegang sijil palsu.

Kumpulan manusia seperti ini tamak haloba, konon hendak ada kelulusan tetapi tidak mahu berusaha menimba ilmu,” akhiri beliau