Monday, May 6, 2013

Berita ini adalah ekoran perjumpaan staf dan pelajar UPM dengan beliau pada 3 May 2013 di Setia Haruman Sdn. Bhd.Cyberjaya

Permintaan graduan ICT tinggi

Berikutan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi, Malaysia memerlukan pekerja mahir dalam bidang tersebut. - Gambar hiasan
Cyberjaya 5 Mei - Bersediakah warga tempatan untuk memenuhi 67,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang bakal diwujudkan di Cyberjaya menjelang 2020? Berdasarkan perkembangan institusi pengajian tinggi (IPT) dan kualiti graduan yang dilahirkan sekarang, hampir mustahil untuk hasrat berkenaan direalisasikan. Ketika ini sebahagian besar daripada 30,000 peluang pekerjaan di Cyberjaya dipenuhi oleh warga asing terutamanya di bahagian tertinggi pengurusan dan dijangka berterusan sehingga 2020 jika tiada tindakan dibuat. Masalah besar ini telah disuarakan sendiri oleh perancang utama pembangunan Cyberjaya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar. Beliau juga merupakan Pengerusi Setia Haruman Sdn. Bhd. (SHSB), pemaju utama bandar pertama berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC).
Mustapha berkata, SHSB sebagai pemaju telah memainkan peranan dengan menyediakan pelan pembangunan dan infrastruktur menyokong pertumbuhan ICT di Cyberjaya dengan menarik kehadiran syarikat multinasional (MNC) beroperasi di situ. "Perancangan berkenaan telah berjaya dengan kehadiran Hewlett-Packard, Shell, HSBC, T-Systems, DHL, IBM, RBC Dexia, Ericsson, AIA, Dell dan AMD di sini.
"Tetapi malangnya, pertumbuhan pesat industri berpendapatan tinggi ini tidak mampu disertai warga tempatan disebabkan beberapa masalah antaranya ilmu pengetahuan, kebolehan dan pengalaman," katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau berkata, di India, negara itu melahirkan 500,000 graduan ICT setahun dan antara kelebihan mereka adalah lulusannya menepati kehendak industri dan sebab itu industri berkembang pesat di sana. "Malaysia hanya melahirkan 8,000 graduan setahun dalam bidang berkenaan tetapi yang menjadi masalah besar mereka tidak diterima oleh MNC kerana modal insan yang lemah. "Perkara ini adalah fakta dan sehingga kini walaupun Malaysia berdepan lambakan graduan menganggur, sektor ICT di Cyberjaya masih kekurangan pekerja. Kenapa ini boleh berlaku?," tegasnya.
Menurut Mustapha, pengurusan tertinggi HSBC pernah mengeluh kepada beliau bahawa Malaysia ketandusan pekerja berkemahiran tinggi untuk diserapkan di syarikat itu dan mengandaikan mahu pulang ke negara asal jika tiada ada pelapis berkebolehan dari negara ini. "Graduan kita bukan tidak berkemampuan tetapi sijil dan kebolehan yang diperolehi dari IPT tidak menepati kehendak MNC. Ini merupakan sesuatu yang merugikan," jelasnya
Mustapha berkata, IPT tempatan perlu berubah dan lebih mesra industri terutamanya dalam sektor ICT yang menawarkan pendapatan tinggi dan perubahan perlu dibuat sekarang. "SHSB bersedia menjadi orang tengah bagi menghubungkan pihak IPT dengan industri bagi merancang modul pendidikan yang bersesuaian dengan kehendak semasa," katanya.

No comments: