Saturday, July 11, 2009

Konservasi Burung Enggang di Parit 13 Sabak Bernam, Selangor

Burug Enggang ini sudah tidak liar lagi dan bersarang di sebelah rumah kediaman manusia


Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan program konservasi burung enggang di kawasan Parit 13 Sungai Panjang Sabak Bernam, Selangor pada 11 Julai 2009. Program ini mendapat kerjasama Jabatan Perhilitan Selangor dan Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan, Kuala Lumpur. Jabatan Biologi UPM sedang menjalankan penyelidikan "Adaptibility of hornbils in human settlement". Hutan Simpan Sungai Karang merupakan kawasan utama burung enggang di Selangor. Terdapat 5 spesies burung enggang di sana. Spesies itu adalah Anthracoceros albirostris convexus, Anthracoceros albirostris albirostris, Anorrhinus galeritus, Anthracocerus malayanus, Buceros rhinocerus. Perubahan persekitaran seperti pembukaan hutan untuk kelapa sawit, padi, pembangunan kampong sebagai dusun buah-buahan, penambahbaikan sistem perairan untuk pertanian memberikan, perubahan ekologi Hutan Simpan Sungai Karang memberikan kesan kepada populasi burung enggang. Burung enggang ini (Anthracoceros albirostris convexus) merupakan yang terkecil di kalangan burung enggang yang terdapat di Hutan Simpan Sungai Karang, telah mula beradaptasi dengan kehidupan manusia. Berbagai pandangan masyarakat terhadap kehadiran makhluk ini dikampung mereka. Ada yang menganggap sebagai perosak (memakan putik buah mata kuching, rambutan, pisang, betik, daun dan buah sukun) ada yang sayang dan cuba memeliharanya dan ada yang menerimanya sebahagian dari masyarakat dan melihat potensi dalam ekopelancongan. Jabatan Biologi UPM cuba mendidik kesedaran konservasi burung enggang ini seawal kanak-kanak memandangkan spesies ini sedang mengalami kepupusan.


Prof Dr. Sidek Abdul Aziz, Dekan Fakulti Sains merasmikan majlis kenservasi burung enggang- melukis dan mewarna burung enggang.

Prof Dr Ahmad Ismail yang mengetuai penyelidikan "Penyesuaian Burung Enggang Di Habitat Manusia" memberikan nasihat kepada kanak-kanak tentang pentingnya konservasi burung enggang. Sokongan seluruh masyarakat penduduk Parit 13 penting dalam menjayakan konservasi burung enggang di Selangor. Pihak Jabatan Perhilitan Selangor, Sekolah-sekolah sekitar Hutan Simpan Sungai Karang dan Masyarakat sangat penting dan perlu bekerjasama dalam mempromosikan konservasi burung enggang ini. Banyak aktiviti berkaitan konservasi dapat dijalankan di kalangan kanak-kanak, pelajar sekolah dan masyarakat dewasa. Insyak Allah sekiranya semua masyarakat prihatin dan menyokong hasrat kerajaan ini maka program konservasi ini akan berjaya dan menjanjikan aktiviti ekopelancongan yang menarik. Sekarang kita dapati beberapa rumah sudah menyambut seruan ini dengan menyediakan tempayan kecil bagi burung ini bertelor dan mengeram. Sifat unik burung jantan yang memberikan makanan kepada betina selama lebih 4 bulan, sepanjang masa mengeram dan membesarkan anaknya dalam tempayan yang ditutup dengan tanah (kecuali lubang kecil untuk jantan memberi makanan), menarik minat penduduk dan menjadi bualan serta cerita-cerita di gerai-gerai dan di masjid-masjid. Pengalaman ini unik dan tidak didapati di tempat lain. Jabatan Perhilitan mungkin boleh memberi ganjaran kepada aktiviti anak angkat burung enggang ini. Misalnya memberi sijil atau hadiah wang kepada peserta yang terlibat dan berjaya atau memberikan peruntukan untuk menganjurkan aktiviti pendidikan yang berkala dan berterusan di kampung seperti Parit 13, Sungai Panjang ini. Bagi pelajar sekolah menengah tingkatan 4&5 boleh mengadakan aktiviti ekologi atau menerusi kelab/persatuan sains sekolah.

En. Arifin Anan Pengerusi JKKK, menceritakan tentang burung enggang yang berpasangan dan mengeram telor dalam tempayan. Beliau menyokong aktiviti konservasi ini dan menyeru semua masyarakat Parit 13 ini menyokong aktiviti ini. Di hadapan rumah beliau terdapat sebuah Tadika Kemas yang boleh di didik program konservasi ini sejak peringkat kanak-kanak lagi.


Aktiviti mewarna di kalangan kanak-kanak Tadika Kemas berumur 4-6 tahun.



Kanakan-kanak yang terbaik dalam aktiviti melukis dan mewarna burung enggang



Peserta aktiviti melukis dan mewarna burung enggang sempena Program Sokongan Awam Konservasi Burung Enggang di Parit 13, Sungai Panjang, Sabak Bernam


Ahli jawatankuasa Program Sokongan Awam Konservasi Burung Enggang

(En Saberi sedang mengambil Gambar)

Gambar-gambar oleh Nurul Izzah Ahmad (UNISEL)

No comments: