Tuesday, July 14, 2009

More News on MoU UPM-ORI The University of Tokyo


UPM, universiti Jepun terus selidik perairan antarabangsa

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) dan Ocean Research Institute (ORI), The University of Tokyo, Jepun, mengukuhkan kerjasama sejak 10 tahun lalu apabila memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk tempoh lima tahun lagi, baru-baru ini. Kerjasama itu membabitkan penyelidikan perairan antarabangsa serta pertukaran penyelidik dalam bidang kimia, fizik dan biologi. MoU itu dimeterai Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah dan salah seorang penyelidik ORI, Prof Dr Nobuyuki Miyazaki.
Dekan Fakulti Sains UPM, Prof Dr Sidek Ab Aziz, berkata kedua-dua pihak juga mengadakan syarahan, simposium dan pertukaran maklumat akademik menerusi hubungan terjalin melalui projek kerjasama itu. Beliau menjelaskan, kini dua tutor dari UPM yang juga bekas pelajar Jabatan Biologi sedang menjalankan penyelidikan peringkat ijazah doktor falsafah di universiti yang terletak di ibu negara matahari terbit itu. Katanya, walaupun penyelidikan itu diketuai Prof Dr Ahmad Ismail dari Jabatan Biologi, penyelidik Jabatan Fizik dan Kimia juga dipelawa bekerjasama dengan saintis lain di The University of Tokyo.
Sidek yakin kerjasama itu akan membuahkan hasil yang mampu memberi manfaat bukan saja kepada kedua-dua pihak, malah organisasi serta negara membenarkan penyelidikan dijalankan di perairan mereka. “Kami sebenarnya turut bekerjasama dengan negara tertentu untuk menjayakan kajian ini dan beruntung kerana dapat meneruskan usaha dimulakan 10 tahun lalu dengan ORI antara universiti terhebat di Asia,” katanya. The University of Tokyo adalah universiti penyelidikan menduduki tempat pertama kategori Asia dalam kajian penarafan Times Higher Education - Quacquarelli Symonds Ltd Asia 2008 dan ke-19 terbaik dunia.

No comments: