Thursday, October 22, 2009

Kenapa Ahli Biologi Perlu Di Hadapan-Cerita Lama yang Berulang

Pembalakan Pahang punca gangguan haiwan liar

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menerima 1,716 aduan mengenai gangguan haiwan liar berpunca daripada pembalakan di negeri itu sejak tiga tahun lalu.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, daripada jumlah tersebut, 748 membabitkan aduan gangguan gajah, 122 (harimau) manakala 846 lagi aduan berkaitan kera.

Beliau berkata, laporan bagi tempoh 2006 hingga 2008 itu adalah serius kerana ia mengancam nyawa serta menyebabkan kerugian harta benda orang awam.

Beliau berkata, tahun lalu, kerugian dianggarkan RM474,120 membabitkan lebih 20,000 tanaman kelapa sawit, getah, pisang, durian dan kelapa yang dirosakkan oleh haiwan tersebut.

"Semakan Audit mendapati gangguan gajah pada tahun 2008 sering tertumpu di kawasan ladang berkeluasan lebih 100 hektar.

"Selain tanaman penduduk musnah, gajah turut merosakkan harta benda seperti rumah dan kemudahan asas lain,'' katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang dikeluarkan kelmarin.

Beliau berkata, selain pembalakan, aktiviti perlombongan haram di Taman Negeri Tasik Chini turut menyumbang kepada masalah pencerobohan hidupan liar ke kawasan penempatan manusia.

Menurutnya, pencerobohan di tasik tersebut adalah serius kerana ia menjejaskan kualiti air serta memusnahkan flora dan fauna di sekelilingnya.

Katanya, pengurusan hutan di negeri itu kurang memuaskan kerana aktiviti di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sama ada secara sah ataupun haram memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Justeru katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) perlu menyediakan perancangan yang komprehensif sebelum melaksanakan projek ladang hutan dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar.

"Selain itu, JPNP juga perlu mengambil kira keperluan guna tenaga, logistik, kos dan masa dalam pengurusan hutan,'' katanya.

_____________________

Kelip-kelip kebanggaan Selangor akan pupus

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Industri pelancongan kelip-kelip yang bertaraf antarabangsa di Daerah Kuala Selangor dikhuatiri akan terhapus berikutan kepupusan ketara populasi serangga berkenaan.

Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendapati aktiviti pertanian pinggir sungai menjadi punca kepada kemusnahan hutan di kawasan itu yang menjadi habitat bagi pembiakan kelip-kelip.

Kerajaan negeri pula dilaporkan merancang mengambil alih tanah milik individu di pinggir Sungai Selangor menjadi tanah kerajaan bagi memelihara habitat berkenaan.

''Laporan Audit ke Kampung Kuantan, Kuala Selangor pada malam 29 Mac 2009 untuk melihat keadaan populasi kelip-kelip dengan menaiki bot menyusur Sungai Selangor mendapati populasi serangga itu telah berkurangan.

''Ini adalah kerana kawasan hutan pinggir Sungai Selangor di Kampung Kuantan telah ditebang dan dibersihkan untuk pembangunan pertanian, kemusnahan alam sekitar telah memberi kesan kepada kepupusan kelip-kelip dan sosioekonomi penduduk setempat," katanya.

Laporan berkenaan mula diedarkan di Parlimen kelmarin.

Pemulihan kelip-kelip merupakan Polisi Keempat (4) dalam Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Selangor (2007-2012) yang mana serangga berkenaan hendaklah dilindungi kerana menjadi daya tarikan utama pelancong dan menyumbang kepada pendapatan penduduk setempat.

Kampung Kuantan di Daerah Kuala Selangor merupakan lokasi kelip-kelip yang hidup di atas pokok berembang, pokok sagu dan nipah di pinggir Sungai Selangor.

Menurut laporan itu, panorama keindahan yang dihasilkan oleh kumpulan kelip-kelip pada waktu malam menarik pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke Kampung Kuantan untuk melihat sendiri keindahan serta keunikan serangga berkenaan.

''Pihak Audit telah membuat semakan dan rujukan dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan mendapati FRIM telah menjalankan penyelidikan berkaitan habitat pembiakan dan pemantauan kelip-kelip sejak 2006.

''Kajian ini masih berjalan sehingga sekarang dan pada 14 Januari 2009, FRIM telah memaklumkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor bahawa populasi serangga di Kampung Kuantan telah berkurangan," katanya.

Tambah laporan berkenaan, kajian FRIM mendapati sepanjang tempoh pemantauan populasi dijalankan, tiga daripada tujuh kawasan yang dipantau pada asalnya terdiri daripada hutan pinggir sungai tetapi telah dilapangkan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan pertanian dan lainlain.

''Kawasan yang dilapangkan adalah kawasan habitat pembiakan kelip-kelip dan kesinambungan populasi serangga ini sangat bergantung kepada kawasan habitat semula jadi seperti hutan sagu dan nipah,'' katanya.


Kita tidak mahu perkara asas yang semua orang tahu tidak dilaksanakan atau tidak diberi perhatian. Apabila sudah terlanjur baru nak buat pembetulan. Kita rugi sumber semulajadi, menyusahkan ramai orang, dan tidak ekonomi. Fikir dahulu sebelum bertindak. Rujuk kepada pakar kalau malu rujuk buku dalam selimut.


No comments: