Wednesday, February 20, 2013

Perjuangan yang Belum selesai: Mertabatkan ahli akademik dan skim gaji setimpal dan setaraf kesarjanaan mereka selari dengan sarjana antarabangsa.

ARKIB : 18/02/2013

MAAC mohon bela nasib ahli akademik IPTA
 
PADA masa negara melaksanakan transformasi nasional, nasib para ahli akademik di universiti khususnya di IPTA perlu dibela.
Amanat tahun baharu Menteri Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) pada Januari 2013 baru-baru ini di Putrajaya telah menggariskan lapan perkara yang antara lain ialah merekayasa IPT, menjana ekonomi berinovasi, kualiti IPT, memperkukuhkan kebolehpasaran graduan, pemetaan baharu pengantarabangsaan dan pendidikan untuk semua.
Ini merupakan KPI bagi KPT dan IPT. Apabila amanat ini menjadi KPI, KPT dan IPT, maka pensyarah dan pengajar di IPTA perlu melaksanakan KPI tersebut agar ia tercapai.
Oleh itu ia menambahkan lagi kepada kerja atau beban tugas yang sedia ada walaupun insentif dan isu kebajikan mereka kurang menjadi prioriti dan diperjuangkan.
Ahli akademik di IPTA adalah sekumpulan insan yang jarang sekali kita dengar mengutarakan tuntutan mereka di akhbar atau media massa, seperti yang telah dilakukan oleh profesion lain di negara ini.
Ini mungkin disebabkan mereka dilahirkan untuk mengelakkan kontroversi sehinggakan kebajikan mereka sanggup diuruskan oleh orang lain.
Tidak seperti guru-guru dan kaum nelayan serta profesion lain seperti kastam, bomba dan tentera, pensyarah universiti lebih dilihat dan dituntut kesarjanaan mereka dan perlu berkorban daripada sibuk menuntut kebajikan mereka dijaga.
Jika mereka menuntut itu dan ini, mereka dianggap tidak profesional dan tidak sarjana.
Kita tidak menyangkal terdapat IPTA yang berusaha untuk membantu memartabatkan staf akademik mereka tetapi, pada masa yang sama mempunyai kekangan dalam melaksanakannya.
Pada ketika ini, ahli akademik di IPTA Malaysia adalah seramai 28,000 orang.
Mereka mendidik dan sentiasa berinteraksi dengan lebih 350,000 pelajar matang di seluruh negara.
Ini adalah angka yang tinggi berbanding dalam tahun 70an hingga 90an.
Apabila bilangan pelajar bertambah, maknanya tugas pensyarah juga bertambah. Kalau dulu universiti hanya mensasarkan 5P sebagai fokus tugas pensyarah iaitu Pengajaran, Penyeliaan, Penyelidikan, Penerbitan dan Pentadbiran, kini pensyarah perlu memfokus kepada 9P iaitu ditambah dengan Perundingan, Perkhidmatan Masyarakat, Perhubungan dan Jalinan Industri serta Pengantarabangsaan.
Namun, nasib pensyarah tak diperjuangkan seperti mana nasib guru-guru diperjuangkan dan profesion mereka diangkat setaraf dengan kehendak dan proses transformasi negara.
Sudah sampai masanya pihak kerajaan memberi perhatian berat kepada kebajikan pensyarah yang rata-rata mendokong aspirasi dan initiatif transformasi negara ke arah Negara maju berpendapatan tinggi.




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130218/fo_04/MACC-mohon-bela-nasib-ahli-akademik-IPTA#ixzz2LS8bERI2
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: